Rabu, 21 Julai 2010

KULIAH DI PROTON CITY :AGRESIFKAH MPP TERHADAP KEBAJIKAN PELAJAR UPSI?

1. Saya merujuk satu artikel yang saya tulis dalam blog saya bertajuk “KULIAH DI PROTON CITY : PENAMBAHBAIKAN ATAU PERPINDAHAN PENDERITAAN” pada Khamis, 01 April 2010 yang lalu.

2. Kini sudah masuk dua minggu ke dua pengajian bagi sesi kali ini. Saya sejujurnya berasa puas hati dengan suasana persekitaran serta kemudahan pembelajaran bilik-bilik kuliah di Proton City.

3. Saya juga pernah menyuarakan hasrat dan keinginan kepada rakan-rakan sekuliah agar dapat melihat UPSI memiliki suasana persekitaran pembelajaran yang selesa seperti yang berada di Proton City.

4. Dalam tulisan saya pada April lalu berkaitan kuliah di Proton City, saya ada mengupas akan cabaran-cabaran yang dihadapi dan juga ada menyarankan penyelesaian kepada kemungkinan permasalahan yang timbul.

5. Salah satu yang menarik perhatian saya dalam perbincangan akan cabaran berkenaan ialah masalah pengangkutan. Melihat perkembangan dan mutu perkhidmatan bas setelah masuk minggu ke dua penkuliahan, ternyata apa yang saya jangkakan April lalu menjadi kenyataan.

6. Saya berpendapat, mutu perkhidmatan pengangkutan semakin merosot terutamanya bagi laluan-laluan kritikal semasa waktu puncak seperti di laluan KUO/KHAR - PINTU TIMUR, KAB/KZ – PROTON CITY dan KAB/KZ - PROTON CITY.

7. Saya kira perkara ini tidak patut berlaku disaat setelah segala perbincangan dan semua sumbangsaran oleh wakil pelajar dalam MPP telah disuarakan.

8. Rakan saya yang duduk di kerusi MPP memberitahu bahawa semua perkara yang saya utarakan dalam tulisan saya 3 bulan lalu sudah pun diperhalusi dan diambil tindakan susulan.

9. Namun setelah masuk minggu ke dua, hasilnya kurang memuaskan sehinggakan mula menimbulkan semakin banyak keluhan, rintihan dan tomahan yang kurang menyenangkan.

10. Melihat keadaan ini yang makin hari makin membengkak, saya sarankan sekali lagi kepada mereka yang terlibat dalam membuat keputusan tidak kira diperingkat manapun, kaji dan teliti semula keputusan lepas yang menyusahkan.

11. Pimpinan pelajar (MPP) anda patut melihat senario ini sebagai satu isu sensitif pelajar. TINDAKAN BERIMPAK MAKSIMA DIPERLUKAN bagi mendesak pihak-pihak tertentu agar melakukan sesuatu sesegera mungkin bagi mengatasi masalah ini.

12. Kepada MPP, desakan diperlukan bagi menambah bilangan bas secepat mungkin. Saranan dan perbincangan secara diplomasi sudahpun dibuat, tetapi hasilnya tetap juga mendukacitakan, justeru saya juga mencadangkan agar satu memorandum perlu sebagai menunjukkan keagresifan terhadap isu kebajikan pelajar. Dalam memorandum tersebut, perlu diberikan suatu tempoh masa kepada pihak tertentu untuk menyelasaikan masalah berkenaan dan jika gagal MPP boleh menganjurkan rapat umum dan memboikot kuliah sehingga ada jalan penyelesaian konkrit.

13.MPP tidak perlu takut kerana jika benar anda komited memperjuankan kebajikan pelajar, seluruh pelajar UPSI pasti akan menyokong apa juga tindakan yang membawa kebaikan kepada usaha perjuangan isu-isu kebajikan pelajar.


“MAHASISWA PELOPOR"

“JIHAD FOR EXCELLENCE”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan